Saturday, September 6, 2014

// // Leave a Comment

Buat Duit Besar Melalui Internet!

Oleh Eruwan Gerry | Jejakusahawaninternet.com

Baru-baru ini semasa bersarapan di sebuah kedai makan, saya telah terserempak dengan seorang sahabat usahawan internet saya. Beliau sudah agak lama menyepi daripada arena sosial bisnes internet.

Dalam pada itu, di dalam kesempatan saya bertemu dengannya, saya pun terus mengutarakan persoalan apakah yang sedang beliau lakukan kini memandangkan sudah agak lama saya tidak mendengar kisah beliau melalui laman-laman sosial di internet.

Beliau pun lantas membuka cerita bahawa beliau masih lagi aktif di dalam menjana wang melalui internet. Cuma kini beliau tidak lagi menghasilkan produk-produk digital untuk dipasarkan tetapi menumpukan usaha kepada menjual barangan-barangan aksesori motor melalui internet. Walaupun tidak se-glamor seperti menjadi seorang "guru" bisnes internet, beliau masih lagi mampu menjana pendapatan yang lumayan melalui internet secara senyap-senyap.

Di dalam hati saya terdetik bahawa rezeki Allah S.W.T melalui internet memang luas. Kita boleh dengan mudah menukar strategi perniagaan daripada satu model bisnes internet kepada model bisnes internet yang lain dan masih lagi boleh menjana pulangan yang lumayan. Strategi bisnes ini sudah pasti tidak boleh dilakukan untuk bisnes konvensional.

Pertemuan dengan sahabat saya ini telah memberikan saya ilham untuk berkongsi mengenai peluang-peluang bisnes internet di dalam ruangan artikel saya pada kali ini. Di dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan anda 4 strategi yang boleh anda lakukan untuk menjana wang melalui internet.

Sebenarnya terdapat 1001 cara untuk menjana wang melalui internet. Tetapi memandangankan ruangan artikel ini amat terhad, saya ingin berkongsi dengan anda 4 strategi utama penjanaan wang melalui internet sahaja.

Mari kita mulakan...

1. Menjual Produk Digital

Ini adalah strategi penjanaan wang melalui internet yang paling saya minati. Di dalam strategi penjanaan wang ini, anda akan menjual produk-produk dalam bentuk digital seperti dalam bentuk ebook, audio atau video.

Anda perlu menghasilkan produk digital berdasarkan sesuatu topik yang menjadi kegemaran atau kepakaran anda dan seterusnya menjual kepada orang lain.

Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang peminat kucing jenis Parsi, mungkin anda boleh menghasilkan ebook mengenai cara untuk menjaga kucing jenis tersebut. Sudah pasti individu lain yang mempunyai minat yang sama dengan anda dan baru ingin bermula akan berminat untuk mendapatkan produk tersebut daripada anda.

2. Menjual Produk Fizikal

Sekiranya anda tidak berminat untuk menjual produk dalam bentuk digital, anda boleh menjual produk dalam bentuk fizikal. Kategori bisnes internet ini boleh anda lihat di kebanyakkan portal utama pada masa kini seperti di portal eBay, Lelong, Lazada atau Mudah. Terdapat ramai individu yang bertindak menjual produk fizikal melalui internet yang mana pemasaran untuk produk-produk tersebut hanya dilakukan menerusi internet.

Perbezaan ketara strategi bisnes internet ini berbanding yang sebelumnya adalah anda perlu membuat penghantaran barangan melalui pos manakala penghantaran produk digital boleh dilakukan secara dalam talian.

3. Menjual Perkhidmatan

Sekiranya anda tidak berminat untuk menjual produk digital mahupun produk fizikal, mungkin anda akan lebih selesa menawarkan perkhidmatan anda melalui internet untuk menjana wang.

Jika anda mempunyai kepakaran khas yang tidak dimiliki oleh ramai orang seperti mempunyai kemahiran untuk menghasilkan laman web, membuat pengaturcaraan, menjahit baju, merancang perkahwinan atau apa jua bentuk perkhidmatan yang lain, maka anda boleh menggunakan medium internet untuk meluaskan jaringan pemasaran anda dan menjana wang.

Ramai individu yang terlibat di dalam kategori pemberian perkhidmatan tidak menggunakan medium internet untuk membantu mereka meluaskan prospek pelanggan mereka.

Sebagai contoh, anda mungkin merupakan seorang ajen pelan perlindungan kesihatan insuran atau takaful. Selain dari hanya menggunakan strategi promosi dengan berbual secara orang perseorangan atau membuat promosi di pasaraya, apa kata anda melakukan promosi melalui internet juga. Terdapat banyak medium yang boleh anda gunakan untuk melakukan promosi seperti melalui laman web anda sendiri, melalui Facebook, Twitter, Blog dan juga Instagram.

Lepas besar jaringan promosi yang anda lakukan maka akan lebih besar hasil penjanaan wang yang akan anda perolehi untuk perkhidmatan anda.

4. Menjadi Jurujual

Kategori bisnes internet ini juga merupakan kegemaran saya. Sebenarnya jika anda tidak mempunyai sebarang produk digital, produk fizikal atau perkhidmatan yang boleh anda jual kepada orang lain - anda masih lagi boleh menjana wang melalui internet!

Cara hebat penjanaan wang yang saya maksudkan ini adalah dengan menjadi jurujual produk digital, produk fizikal atau perkhidmatan orang lain. Cuma perbezaan di antara jurujual konvensional dengan jurujual dalam talian adalah usaha dan masa yang perlu anda curahkan adalah jauh lebih rendah berbanding si jurujual konvensional.

Di dalam dunia bisnes internet, jurujual ini adalah lebih dikenali sebagai Affiliate.

Sebagai seorang affiliate, setiap promosi yang anda lakukan akan membolehkan anda menerima komisen jualan setiap kali terdapat pembelian melalui promosi anda.

Sebagai contoh, jika anda mempromosikan satu produk digital milik orang lain yang bernilai RM100, anda berpeluang menjana wang komisen bernilai RM10 sehingga RM50 untuk setiap produk digital yang terjual.

Nilai komisen yang ditawarkan adalah berdasarkan nilai yang telah ditetapkan oleh si pemilik produk. Jika satu produk yang terjual membolehkan anda menerima RM10 sebagai komisen, penjualan 10 produk sudah membolehkan anda menerima RM100 komisen dan penjualan 100 produk sudah membolehkan anda merima RM1,000 komisen.

Lebih banyak anda berjaya jual maka akan lebih banyak komisen yang anda perolehi. Apa yang menarik di sini adalah anda sudah tidak perlu bersusah payah untuk menghasilkan barang untuk dijual. Kesemuanya sudah tersedia untuk anda. Anda cuma perlu melakukan promosi melalui internet untuk menjana wang.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai strategi affiliate, anda boleh mengunjungi laman web saya di http://www.EruwanGerryAffiliates.com untuk maklumat lanjut.


Itulah 4 kategori utama cara untuk menjana wang melalui internet. Anda boleh membina bisnes internet anda berdasarkan satu atau kesemua strategi tersebut. Asalkan anda berusaha, Insya-Allah kejayaan berada di dalam tangan anda.

Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah peluang untuk menjana wang melalui internet memang luas. Jika satu strategi bisnes internet tidak sesuai untuk anda, maka anda boleh beralih kepada strategi bisnes internet yang lain tanpa sebarang risiko yang besar.

Jika anda belum lagi bermula, apa kata anda memulakan langkah pertama anda dalam bulan ini?

Sehingga bertemu lagi dikesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaaan!

0 comments:

Post a Comment