Friday, January 1, 2016

// // Leave a Comment

Fokus Kejayaan 2016

Artikel ini dibawakan untuk anda oleh Sukses Usahawan internet.

Tahun 2016 sudah tiba!

Saya pasti anda sedang membuat perancangan dan persediaan untuk menjadikan tahun 2016 lebih hebat berbanding tahun 2015 untuk bisnes internet anda.

Di dalam sedikit kesempatan yang ada ini, saya ingin berkongsi dengan anda beberapa perkara yang saya sarankan untuk anda fokuskan pada tahun 2016 ini.

Mari kita mulakan...


1. Mulakan Database

Saya pernah berkongsi dengan anda mengenai perkara ini...

Database atau pengkalan data maklumat nama dan email para pelanggan atau peminat anda adalah nyawa anda!

Walau apa jua jenis bisnes internet yang anda lakukan sama ada menjual di portal Lelong, eBay, Mudah, Instagram, Facebook atau di laman web anda sendiri, anda perlu mula menyimpan dan membina senarai nama dan email para pelanggan atau peminat anda.

Tujuannya adalah mudah... Walau apa jua yang terjadi kepada portal jualan atau pemasaran yang anda gunakan pada masa ini, anda masih boleh berhubung dengan para pelanggan dan peminat anda.

Sebagai contoh, sekiranya model pemasaran dan jualan anda adalah melalui Fan Page di Facebook, bayangkan jika secara tiba-tiba pihak Facebook menutup dan membuang Fan Page anda yang sudah mempunyai puluhan ribu fan, apa yang boleh anda lakukan?

...Menangis tanpa henti?

...Menghantar message kepada admin Facebook?

...Berterusan mengamuk?

Sudah pasti anda berada di dalam kegusaran sekiranya perkara ini berlaku dan anda akan kecewa kerana tidak memiliki database semenjak awal.

Sekiranya anda sudah membina senarai database, tanpa sebarang masalah anda boleh menghasilkan Fan Page baru dan menghantar email makluman kepada semua yang berada di dalam database tersebut untuk mengunjungi Fan Page terkini anda itu. Masalah selesai...

Penyelesaian ini adalah sama dalam apa jua cara pemasaran yang anda lakukan di dalam dunia internet.

Anda WAJIB memiliki database anda sendiri. Anda boleh gunakan portal perkhidmatan seperti di Aweber.comGetResponse.com, Trafficwave.net, dan sebagainya untuk membantu anda.

Oleh itu, jika anda masih lagi belum bermula, maka anda perlu mulakan pada tahun 2016 ini.


2. Aplikasi Media Sosial

Semasa permulaan zaman kegemilangan internet, terdapat satu kata-kata dalam Bahasa Inggeris untuk usahawan iaitu: "If you are not on the internet, you are not in business."

Ianya bermaksud bahawa sekiranya seseorang yang memiliki bisnes konvensional dan menjual di dalam dunia offline tidak mempunyai laman web mereka sendiri, maka ia seolah-olah seperti mereka tidak wujud.

Ini merujuk kepada kepentingan kewujudan atau presence sesuatu bisnes di dalam dunia internet. Tanpa laman web sendiri, maka sesuatu bisnes atau syarikat itu tidak boleh ditemui.

Pada masa kini, kehadiran atau presence diri dan bisnes kita di dalam media sosial sudah merupakan satu kepentingan di dalam dunia internet. Pemilikan laman web sahaja sudah tidak memadai. Generasi pengguna internet pada masa kini adalah lebih tertarik kepada cara pemasaran dan promosi melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Dalam pada itu, kita tidak boleh menafikan kepentingan media sosial kepada kehidupan bisnes internet kita.

Sekiranya anda masih belum lagi mendaftarkan diri untuk sebarang media sosial atau sudah mendaftar tetapi belum lagi menggunakannya secara sepenuhnya, tahun 2016 merupakan tahun anda.

Saya yakin dengan menggunakan portal media sosial dengan sewajarnya, anda akan mampu meningkatkan lagi kejayaan bisnes internet anda.


3. Strategi Baru

Kejayaan sering dicapai oleh mereka yang berani membuat perubahan dan melakukan strategi baru di dalam bisnes mereka.

Oleh itu, apa kata anda juga mula berjinak-jinak dengan melakukan perkara baru atau strategi baru di dalam bisnes internet anda untuk tahun 2016 ini.

Cuba fikirkan perkara-perkara dan strategi-strategi baru yang boleh anda lakukan untuk menarik lebih banyak minat pelanggan, meningkatkan lebih banyak fan dan melebarkan lagi jaringan sosial anda.

Anda mungkin boleh menggunakan strategi promosi baru. Daripada hanya mengharapkan promosi melalui email, anda boleh lakukan promosi tambahan melalui Facebook, Instagram atau Twitter.

Anda mungkin boleh mencari barangan baru untuk dijual semula di portal Lelong atau eBay dengan cara mengkaji niche atau kategori lain yang belum pernah anda selami sebelum ini.

Anda juga mungkin boleh menambahkan jaringan kenalan bisnes anda dengan menghadiri seminar-seminar atau konvensyen yang belum pernah anda sertai sebelum ini atau yang tidak berkaitan secara terus dengan bisnes anda. Boleh jadi anda akan bertemu rakan bisnes baru yang akan dapat menjadi pemangkin bisnes anda ke tahap yang lebih hebat selepas ini.

Apa yang penting, anda perlu luaskan dan besarkan comfort-zone atau zon selasa anda pada tahun 2016. Sudah pasti ia akan memberikan pulangan yang lumayan untuk anda dalam jangka masa panjang.


Saya berharap sedikit perkongsian saya pada kali ini telah dapat memberikan sedikit idea permulaan buat anda untuk mencipta kejayaan pada tahun 2016 ini.

Sehingga bertemu lagi di kesempatan yang lain, salam hormat dan salam tahun baru 2016. :)

0 comments:

Post a Comment