Di antara persoalan yang sering ditanya kepada saya adalah mengenai idea untuk dijadikan bisnes internet.
Ada yang berkata, "Saya tak tahu produk digital apa yang boleh saya hasilkan."
Ada pula yang berkata, "Saya tak tahu apa yang boleh saya jual."
Ada juga yang akan berkata, "Saya sudah kehabisan idea tentang apa produk seterusnya yang akan saya keluarkan."
Masalah kekurangan atau ketiadaan idea ini merupakan perkara yang biasa berlaku kepada setiap usahawan di dalam dunia online dan offline.
Sekiranya anda merupakan penghasil produk digital yang tegar, boleh jadi anda sudah kehabisan idea tentang maklumat yang boleh anda jadikan sebagai produk digital anda.
Jika anda merupakan seorang penjual produk-produk fizikal melalui internet, mungkin anda sudah ketandusan idea tentang produk fizikal apa lagi yang boleh anda jual.
Setiap usahawan internet pasti akan menghadapi masalah ini...
Apa yang perlu anda tahu adalah otak kita merupakan satu organ yang hebat dan jika minda kita dibekalkan dengan rangsangan yang sesuai, maka idea-idea hebat akan tercetus tanpa henti!
Oleh itu, di dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan anda 3 strategi rangsangan yang boleh anda lakukan untuk mengerakkan minda anda untuk mencetus idea-idea hebat yang boleh anda lakukan di dalam bisnes internet anda.
Mari kita teruskan dengan strategi-strategi tersebut...
1. Rangsangan Buku & Majalah
Salah satu perkara mudah yang boleh anda lakukan untuk merangsang minda anda untuk mencetus idea bernas adalah dengan mengunjungi kedai buku dan majalah.
Apa yang perlu anda lakukan di sini adalah untuk melihat trend, niche atau perkara popular yang sedang dipaparkan di dalam kedai tersebut.
Cuba lihat apakah senarai buku yang sedang popular atau laris dijual. Adakah topik atau perkara popular tersebut sesuatu yang boleh anda hasilkan menjadi satu produk digital atau mungkin boleh dijadikan sebagai produk fizikal yang boleh anda jual.
Sebagai contoh, jika anda melihat di antara tajuk-tajuk buku yang sedang laris dijual adalah mengenai cara untuk melabur di dalam bidang hartanah, mungkin anda boleh menghasilkan produk digital yang berkaitan dengan pelaburan hartanah. Jika anda sendiri tidak mempunyai kepakaran ini, mungkin anda boleh bergabung dengan individu lain yang mempunyai kepakaran di dalam pelaburan hartanah dan bersama-sama menghasilkan produk digital.
Satu contoh lain, jika anda merupakan penjual produk fizikal melalui online, anda boleh menggunakan sumber majalah untuk mencari produk fizikal baru untuk anda jual. Anda boleh melihat apakah produk menarik yang sedang hangat diperkatakan atau dicari pada masa ini. Mungkin trend terkini adalah mengenai baju atau kain yang bercorak rekaan Pua Kumbu dari Sarawak. Maka anda boleh menjadikan ia sebagai idea untuk anda mencari pembekal kain atau baju rekaan tersebut untuk anda jual semula kepada orang lain.
Saya amat pasti jika anda mengambil masa untuk menyusuri buku-buku dan majalah-majalah yang terdapat di mana-mana kedai yang terdapat di tempat anda, pasti akan ada idea-idea hebat yang tercetus.
2. Rangsangan Facebook
Selain dari merupakan portal sosial yang baik untuk berkomunikasi dengan semua rakan dan ahli keluarga anda, portal Facebook juga merupakan portal hebat untuk mencari rangsangan idea.
Selain dari berkomunikasi, cuba baca, lihat gambar dan fahami apa yang sedang dilakukan atau diperbincangkan oleh rakan-rakan dan ahli keluarga anda. Cuba lihat juga mana-mana group atau fanpage yang sedang hangat.
Perhatikan jika terdapat maklumat-maklumat yang sebilangan besar kenalan anda ingin ketahui atau ingin perolehi.
Boleh jadi ada perkara-perkara yang ingin mereka tahu boleh anda hasilkan dalam bentuk produk digital.
Boleh jadi juga ada produk-produk fizikal yang mereka inginkan boleh anda perolehi dari mana-mana sumber untuk dijual kepada mereka.
Jika mereka juga inginkan maklumat atau perkara tersebut, kemungkinan besar terdapat ramai orang lain di luar lingkungan kenalan anda yang sedang mencari maklumat atau produk tersebut.
Oleh itu, strategi rangsangan melalui portal Facebook ini merupakan satu cara yang mudah dan pantas untuk anda mengenalpasti dan mencetus idea-idea bisnes internet untuk diri anda.
3. Rangsangan eBay dan Amazon
Portal eBay dan portal Amazon merupakan satu lubuk untuk idea bisnes internet!
Anda boleh dengan mudah mengunjungi portal tersebut untuk melihat apa yang sedang popular atau menjadi bestseller di kedua-dua portal e-dagang itu.
Portal eBay menyediakan kemudahan untuk anda melihat dengan spesifik kategori barangan atau produk yang menjadi minat anda.
Anda boleh memaparkan produk-produk yang sedang popular dijual di dalam kategori produk anda dan menjadikan ia sebagai rangsangan untuk menghasilkan produk digital baru atau untuk mendapatkan bekalan produk baru untuk dijual.
Apa yang penting adalah kedua-dua portal eBay dan Amazon mempunyai di antara jumlah pengguna online untuk portal e-commerce atau e-dagang yang terbesar di dunia. Oleh kerana itu, jika terdapat sesuatu produk atau barangan yang menjadi popular di dalam portal tersebut, maka pasti ianya juga popular di kalangan individu lain yang tidak menjadi ahli di dalam portal tersebut.
Ia merupakan satu sampel pengguna atau pembeli yang paling besar dan terkini di dalam dunia internet!
Dalam pada itu, portal eBay dan portal Amazon merupakan satu cara yang paling berkesan untuk anda mengetahui perkara-perkara terkini di luar negara yang masih lagi belum tiba di negara kita. Ini akan membolehkan anda untuk bertindak dengan lebih pantas sebelum ada usahawan internet lain yang bertindak.
Sesungguhnya kekuatan dan kuasa minda manusia tidak akan putus. Setiap individu mempunyai kebolehan untuk mencetus idea-idea yang hebat sekiranya ia menerima rangsangan yang sewajarnya.
Dalam pada itu, saya berharap yang anda akan menggunakan ketiga-tiga teknik yang telah saya kongsikan ini sebagai cara untuk mencetus idea bisnes internet anda yang seterusnya.
Saya doakan semoga idea bisnes internet yang tercetus itu akan membawa anda kejayaan yang lebih besar selepas ini.
Sehingga bertemu lagi dikesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaaan!
Post a Comment