Pengurusan kewangan yang baik akan mampu membantu kita untuk mencapai segala impian kewangan kita manakala pengurusan kewangan yang tidak baik akan menghancurkan bisnes kita.
Oleh kerana itu, di dalam ruangan artikel pada kali ini saya ingin berkongsi dengan anda beberapa tip pengurusan kewangan yang boleh anda lakukan
1. Analisa Pemasaran
Perkara pertama yang boleh anda lakukan pada bulan Ramadhan ini adalah menganalisa prestasi pemasaran yang telah anda lakukan di sepanjang 6 bulan yang pertama pada tahun ini.
Cuba bandingkan nilai pemasaran yang telah anda lakukan dengan jumlah jualan yang telah berjaya anda hasilkan. Adakah terdapat strategi pemasaran yang telah membuahkan hasil yang baik? Adakah terdapat strategi pemasaran yang telah anda lakukan membuahkan hasil yang buruk?
Sebagai contoh, semenjak awal tahun ini anda telah menggunakan 5 strategi pemasaran iaitu promosi melalui Facebook Ads, Banner di Lelong, Banner di Laman Web sahabat JV, Google Ads dan pamplet fizikal. Daripada kesemua 5 strategi pemasaran yang telah anda lakukan ini pasti anda boleh tentukan promosi mana yang telah memberikan pulangan jualan yang tertinggi dan pulangan jualan terendah.
Sebagai usahawan internet yang bijak, kita perlu menumpukan wang dan usaha kita pada strategi yang membuahkan hasil yang paling lumayan.
Kita perlu mengamalkan Prinsip Pareto 80:20. Prinsip ini menyatakan bahawa selalunya 80% hasil yang kita inginkan akan diperolehi daripada 20% usaha yang telah kita lakukan. Jika merujuk kepada contoh 5 strategi pemasaran tadi, cuma 1 atau 2 strategi pemasaran sahaja daripada 5 strategi pemasaran tersebut yang memberikan kita 80% keuntungan.
Dalam pada itu, daripada kita fokuskan segala usaha dan wang kita pada kelima-lima strategi pemasaran tersebut, langkah bijak adalah untuk kita pilih semaksima 2 strategi pemasaran sahaja untuk kita salurkan kesemua wang dan usaha kita.
Dengan fokus seperti ini, kita akan mampu menjana keuntungan kewangan yang lebih besar dengan usaha yang lebih tertumpu.
2. Imbangan Hutang
Sebagai seorang usahawan internet, kita memang tidak boleh lari dari persoalan hutang.
Hutang boleh wujud dalam pelbagai bentuk bergantung kepada fokus bisnes internet anda. Boleh jadi sebagai penjual produk fizikal, anda mempunyai hutang yang perlu dibayar kepada pembekal produk anda.
Mungkin anda menggunakan kad kredit untuk membayar perkhidmatan autoresponder bulanan anda atau perkhidmatan hosting bulanan anda. Setiap usahawan internet mempunyai hutang yang tersendiri. Bezanya cuma pada saiz hutang tersebut sama ada kecil atau besar.
Salah satu tip pengurusan kewangan yang bijak yang boleh anda lakukan sempena bulan Ramadhan ini adalah untuk menstruktur semula semua hutang anda.
Cuba lihat semula hutang-hutang anda, mungkin ada hutang yang boleh anda langsaikan serta merta. Mungkin ada hutang yang anda memerlukan sedikit masa untuk menjelaskannya.
Boleh jadi ada perkhidmatan-perkhidmatan bulanan yang boleh anda hentikan sekiranya ianya tidak membawa sebarang impak atau kesan kepada kejayaan bisnes anda.
Jika ianya hutang kad kredit, mungkin anda boleh pindahkan baki hutang tersebut kepada kad kredit lain yang menawarkan kadar faedah atau kos perkhidmatan yang lebih rendah.
Apa yang penting di sini, anda sebagai seorang usahawan internet yang bijak perlu mengurangkan kadar hutang anda dengan serendah mungkin. Dengan berbuat demikian, maka anda akan kurang menghadapi stress yang disebabkan oleh jumlah hutang yang bertimbun.
Kehidupan anda akan lebih tenang dengan hutang yang kurang.
3. Simpanan Kecemasan
Satu tip penting yang perlu juga anda praktikan adalah dengan mengadakan atau mewujudkan simpanan kecemasan.
Apa yang saya maksudkan sebagai simpanan kecemasan di sini adalah sejumlah wang yang anda asingkan daripada jumlah wang bulanan yang anda gunakan untuk operasi bisnes internet anda.
Wang ini tidak boleh anda gunakan sebagai wang bulanan urusan bisnes anda tetapi perlu diasingkan tanpa disentuh kecuali berlaku sesuatu kecemasan.
Kecemasan di sini bermaksud sebarang perkara yang berlaku di dalam urusan bisnes internet anda yang tidak dirancang dan memerlukan penggunaan wang dengan pantas.
Boleh jadi terdapat perisian atau perkhidmatan yang perlu anda dapatkan diluar daripada perancangan anda. Bagi mendapatkan perisian atau perkhidmatan tersebut, anda perlu mengeluarkan sejumlah wang.
Boleh jadi anda terpaksa menggunakan wang untuk mendapatkan pembekal lain disebabkan masalah yang berlaku pada pembekal barangan sedia ada anda.
Terdapat 1001 cabaran yang boleh berlaku di dalam menguruskan bisnes internet anda. Dalam pada itu, dengan memiliki simpanan wang kecemasan, anda sudah pasti akan lebih tenang dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.
Wang simpanan kecemasan ini juga boleh anda gunakan untuk merebut sesuatu peluang bisnes yang mungkin cuma boleh anda perolehi pada masa yang sekejap sahaja.
Pengurusan kewangan yang baik merupakan di antara kunci kejayaan bagi sesebuah bisnes internet. dalam masa terluang, carilah kesempatan untuk menganalisa dan mengatur semula kewangan bisnes internet anda.
Post a Comment