Tidak dinafikan bahawa kita memerlukan sumber pendapatan untuk menjalani kehidupan seharian kita. Sumber pendapatan inilah yang kita perlukan untuk menjelaskan hutang kenderaan, hutang rumah, hutang pelajaran, bil air dan api serta bil-bil lain yang tidak berhenti-henti tiba pada setiap bulan.
Tahukah anda bahawa sumber pendapatan juga mempunyai kategorinya yang tersendiri?
Sebenarnya terdapat 3 kategori pendapatan yang terdapat di dalam dunia ini. Sebarang kategori pendapatan lain adalah cuma pecahan daripada ketiga-tiga kategori utama ini.
1. Pendapatan Aktif
Sumber atau kategori pendapatan pertama adalah dikenali sebagai Pendapatan Aktif. Maksud pendapatan aktif di sini adalah anda sebagai seorang individu perlu melakukan sesuatu kerja atau aktiviti untuk membolehkan anda mendapat sumber pendapatan ini.
Salah satu contoh sumber pendapatan aktif adalah pekerjaan seseorang sebagai seorang penjual makanan di pasar malam. Individu tersebut akan mampu menjana pendapatan sekiranya dia bertindak membuka gerai beliau dan membuat jualan. Sekiranya beliau tidak membuka gerai disebabkan sakit atau sedang bercuti, maka wang tidak akan dapat diterimanya.
Sama seperti seorang individu yang bekerja makan gaji. Beliau akan terus mendapat pendapatan atau gaji bulanan selama mana beliau masih lagi melakukan kerja-kerja beliau. Jika individu tersebut berhenti, maka sumber pendapatannya akan turut terhenti.
2. Pendapatan Pasif
Sumber pendapatan yang kedua dikenali sebagai Pendapatan Pasif. Pendapatan pasif ini merujuk kepada sesuatu perbuatan atau usaha yang akan mampu memberikan sumber pendapatan yang berterusan untuk satu jangkamasa yang tertentu.
Sebagai contoh, anda sebagai seorang pemilik rumah bertindak untuk menyewakan rumah anda kepada sebuah keluarga dan mendapat bayaran sewa secara bulanan daripada keluarga tersebut. Ini merupakan satu bentuk pendapatan pasif kerana anda hanya perlu melakukan kerja sekali sahaja untuk mencari penyewa rumah anda tetapi ianya mampu memberikan anda pulangan wang pada setiap bulan selama mana keluarga tersebut masih lagi menetap di situ.
Salah satu lagi contoh lain adalah anda memiliki satu perniagaan franchise yang memberikan pulangan yang berterusan kepada anda pada setiap bulan. Anda tidak perlu berkerja di dalam franchise tersebut tetapi bertindak mendapatkan orang lain untuk menjadi pekerja anda.
3. Pendapatan Portfolio
Sumber pendapatan ketiga adalah sumber Pendapatan Portfolio. Pendapatan portfolio merujuk kepada sumber pendapatan "kertas" anda.
Pendapatan kertas atau portfolio ini adalah seperti saham, simpanan, takaful atau insuran yang anda miliki. Setelah anda membuat caruman untuk satu jangkamasa yang ditetapkan, anda akan mendapat pulangan atau dividen bergantung kepada prestasi pelaburan anda itu.
Jika dividen yang diberikan tinggi, maka anda akan mampu mendapat pulangan yang lumayan. Jika dividen atau keuntungan yang diberikan rendah, maka kuranglah wang yang anda perolehi.
Sekiranya dinilai sumber pendapatan melalui internet, sebenarnya ianya boleh wujud dalam ketiga-tiga kategori di atas.
Namun demikian, sumber pendapatan yang terbaik adalah sumber pendapatan pasif iaitu sumber pendapatan yang boleh berterusan anda perolehi walaupun anda tidak bekerja.
Sekiranya anda berminat untuk menjana pendapatan pasif di dalam dunia bisnes internet, maka anda perlu menyertai bisnes internet yang sewajarnya. Salah satu contoh bisnes internet yang memberikan pendapatan pasif adalah penjualan produk digital melalui internet. Anda cuma perlu menghasilkannya sekali sahaja tetapi ianya mampu memberikan anda pulangan secara berterusan selagi mana ada orang yang membeli produk anda.
Strategi mantap di dalam mencapai kejayaan di dalam dunia bisnes internet adalah dengan mewujudkan sebanyak mungkin sumber-sumber pendapatan pasif anda. Lebih banyak lubuk pendapatan pasif yang anda hasilkan maka akan lebih besar peluang anda untuk menerima pulangan lumayan pada setiap bulan dengan hasil usaha yang minima.
Sekiranya anda belum lagi mewujudkan lubuk pendapatan pasif anda menerusi dunia bisnes internet, sudah tiba masanya untuk anda memulakannya.
Post a Comment