Saya pasti yang anda pernah terdengar mengenai syarikat Alibaba dari China yang diketuai oleh Jack Ma. Syarikat tersebut kini sudah menjadi syarikat terkaya di negara China sesudah Jack Ma bertindak menyenarai syarikatnya itu di bursa saham. Beliau juga sudah menjadi salah seorang usahawan yang terkaya di dunia.
Syarikat Alibaba pada dasarnya telah bermula sebagai sebuah syarikat yang menyediakan ruangan pertemuan dan urusniaga di antara pembeli dan pengilang atau penjual menerusi laman web utama mereka Alibaba.com. Saya yakin syarikat Jack Ma kini sudah mula mengorak langkah dan mengembangkan syarikatnya ke arah peluang-peluang keuntungan di dalam pasaran lain. Ini termasuk pasaran movie iaitu menerusi syarikat penerbitannya Alibaba Pictures Group.
Sebagai seorang usahawan, kita sepatutnya berusaha untuk mengembangkan bisnes kita setelah tapak kita kukuh di dalam bisnes utama kita. Kita boleh perhatikan sebahagian besar usahawan hebat dunia seperti Jeff Bezos pemilik syarikat Amazon dan juga Sir Richard Branson pemilik syarikat Virgin telah mengembangkan bisnes mereka setelah mereka berjaya membina satu tapak yang kukuh di dalam bisnes pertama mereka.
Jeff Bezos telah terlebih dahulu menjual buku-buku di laman web Amazon dengan tujuan untuk mengukuhkan laman web dan jaringan perkhidmatan pembungkusan dan penghantaran syarikatnya. Setelah segalanya boleh dilakukan dengan pantas dan cekap, beliau telah mula menjual pelbagai barangan lain menerusi laman web Amazon dengan menggunakan sistem yang sama seperti penjualan buku-bukunya.
Sir Richard Branson pula telah bermula dengan syarikat penerbangan kos murahnya. Setelah strategi bisnesnya berjaya, beliau telah mengembangkan bisnesnya kepada kedai penjualan barangan, penerbangan angkasalepas, perkhidmatan kewangan dan juga telekomunikasi.
Di dalam Malaysia, tokoh bisnes terdekat yang menggunakan strategi pengembangan bisnes adalah Tan Sri Tony Fernandes. Beliau telah bermula dengan syarikat penerbangan kos murah sebelum mengembangkan syarikat beliau kepada bisnes insuran, perhotelan, percutian dan telekomunikasi.
Semua tokoh yang telah saya kongsikan tadi merupakan nama-nama besar di persada bisnes dunia. Walaupun mereka merupakan tokoh-tokoh besar, tidak bermaksud kita yang mempunyai bisnes yang jauh lebih kecil tidak boleh menggunakan strategi pengembangan bisnes yang sama untuk menjana kekayaan yang lebih besar untuk bisnes internet kita.
Setiap bisnes boleh melakukan usaha pengembangan bisnes ke arah kategori atau pasaran lain tidak mengira saiz bisnes tersebut. Pengembangan bisnes tidak semestinya bermaksud anda perlu melakukan satu perubahan atau penambahan besar. Ia boleh bermaksud yang anda menambah peluang untuk menjana keuntungan lebih di dalam bisnes anda.
Sebagai contoh, sekiranya pada masa kini anda merupakan seorang penjual pakaian muslimah, sebagai strategi pengembangan bisnes anda boleh mula menjual pakaian untuk muslimin pula.
Sekiranya anda merupakan seorang penjual produk digital mengenai kewangan dalam bentuk ebook, anda boleh kembangkan bisnes anda dengan menghasilkan pelbagai variasi produk digital anda seperti di dalam bentuk audio, video atau buku fizikal untuk anda jual kepada para pelanggan.
Seorang usahawan makanan pula boleh menambah jenis makanan yang dijualnya, mewujudkan kategori makanan tradisional atau barat, atau mula mempertimbangkan peluang untuk menjadikan bisnes makanan tersebut sebagai satu Franchise.
Terdapat 1001 cara untuk mengembangkan bisnes kita agar kita dapat mengecapi kejayaan yang lebih besar dan juga mencapai peluang keuntungan yang lebih besar. Sudah pasti kita perlu berusaha bersungguh-sungguh, memberikan fokus yang terbaik dan terus berdoa kepada Allah S.W.T agar dipermudahkan segala urusan dan rezeki kita. Insya-Allah kita pasti akan mencapai kejayaan dan memiliki bisnes yang besar dan hebat nanti.
Sehingga bertemu lagi dikesempatan yang lain, salam hormat dan salam kejayaan!
Bagi mahu melanggan update terkini, maklumat, tips dan panduan terkini mengenai bisnes internet serta informasi produk keusahawanan terkini sila lengkapkan borang langganan di atas.
Post a Comment