Ijazah merupakan sebuah penghargaan atau anugerah atas kejayaan seseorang dalam menamatkan pengajian. Ijazah juga merupakan satu lesen penting untuk melangkah ke alam pekerjaan bagi seseorang yang bergelar graduan Institut Pengajian Tinggi. Tetapi, adakah dengan segulung ijazah akan membawa kepada kejayaan sebenar dalam hidup?

Masyarakat kini tidak lagi beranggapan bahawa segulung ijazah mampu membawa seseorang itu berjaya dengan lebih jauh. Hakikatnya, menuntuk ilmu tidak ada had. Tidak memiliki ijazah tidak semestinya seseorang itu tidak boleh berjaya. Ramai insan tanpa ijazah yang boleh berjaya dan mempunyai taraf kehidupan yang sangat baik seperti petani, penternak, peladang, usahawan dan sebagainya. Pendek kata, kehidupan mereka jauh lebih mewah berbanding dengan mereka yang memiliki ijazah.

Dalam dunia ini, orang ramai boleh berjaya apabila mempunyai semangat yang tinggi dan usaha yang gigih dalam diri. Semangat merupakan faktor penting dalam memotivasikan diri bagi mencapai apa yang diimpikan dan usaha merupakan tangga kejayaan. Usaha yang tinggi akan membuahkan hasil tanpa kita duga.

Seorang penulis blog berpendapat bahawa lelaki tanpa ijazah merupakan lelaki luar biasa yang mana mereka tidak hanya tertumpu kepada ilmu yang mereka ada, bahkan mereka mempunyai kemahiran dan pengalaman yang banyak berbanding lelaki berijazah yang hanya tertumpu kepada ilmu dan kemahiran tertentu yang dipelajarinya.

Kebanyakan mereka yang memiliki ijazah mempunyai tanggapan negatif terhadap penulis blog yang tidak memiliki ijazah. Kononnya tidak ada kelas. Kelayakan akademik bukan ukuran terhadap kebijaksanaan seseorang. Tidak hairan orang yang tidak memiliki ijazah lebih celik tentang keusahawanan berbanding orang yang ada ijazah. Sebab itu tidak hairan orang yang tidak ada ijazah mampu bergelar jutawan.

Terdapat kisah-kisah kejayaan mengenai mereka yang 'gagal' di sekolah dan kolej tetapi berjaya menjadi antara insan terkaya dan berjaya di dunia.

Salah seorang daripada mereka adalah Steve Jobs, yang meninggalkan kolej selepas enam bulan pengajian. Mark Zuckerberg pula gagal meneruskan pengajian pada tahun kedua.

Richard Branson? Beliau tidak pernah menghabiskan pengajian sekolah tinggi.

Jobs adalah pengasas Apple manakala Zuckerberg adalah pengasas Facebook dan Branson pengasas Virgin Group, sebuah syarikat penerbangan.

Semuanya berbalik kepada diri sendiri, orang muda perlu membuat keputusan yang betul dalam setiap pilihan yang dibuat.

Sebelum buat pilihan, ingatlah bahawa sekolah dan kolej boleh mengajar banyak benda, tetapi kehidupan mampu ajar lebih banyak lagi.

Disunting dari Sinarharian.com.my


Post a Comment