Thursday, April 11, 2019

// // Leave a Comment

Misi Bebas Hutang


Bukan mudah untuk melepaskan diri daripada berhutang melampaui kemampuan, tapi ia tidak mustahil untuk mengelakkan diri daripada keberhutangan melampau. Sesiapa sahaja mampu bebas daripada hutang jika ada ilmu, kesedaran dan keazaman yang kuat. Kebanyakan mereka yang mengadu masalah kewangan, bukan disebabkan gaji yang diterimanya tak cukup, tetapi disebabkan masalah hutang yang dibuatnya sendiri. Bukan tak boleh berhutang, namun biarlah berhutang pada perkara yang benar-benar perlu, dan berhutanglah secara bijak yang menjadikan kita lebih kaya. Beban kewangan terbesar bagi kebanyakan rakyat Malaysia ialah ansuran pinjaman membeli kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan hutang membeli rumah kediaman ‘impian’ yang mana jika tiada pun kita masih boleh hidup. Ia tidak seperti kos keperluan asas untuk hidup seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Jadi sesiapa yang dapat bebas daripada hutang-hutang ini, kita terlepas daripada bebanan kewangan terbesar. Seterusnya kita bolehlah fokus mengumpul harta dan mengembangkan kekayaan.

Apa juga cara kita gunakan untuk membebaskan diri daripada hutang, pastikan dengan jalan yang baik bagi mengelakkan timbul masalah lain.Tips ringkas di bawah membebaskan diri daripada hutang ini diharap dapat membantu sesiapa sahaja yang berhutang diluar kemampuan.

1. Berbelanja ikut kemampuan
Selalu orang bijak pandai cakap, berbelanja mengikut kemampuan kewangan. Usah ikut nafsu atau kehendak isteri yang mahu berlawan dengan jiran sebelah. Itu kereta yang dibeli tak perlulah mekup sana sini semata-mata mahu kelihatan cantik. Itu kereta pandai reput juga tu. Asal boleh bawa kita kema mana-mana sudah cukup memadai. Contoh la kan..

2. Menyimpan atau menabung
Kuatkan semangat untuk menabung. Menabung memerlukan disiplin yang kuat. Kemudian wang yang disimpan tu anggap saja sudah hilang. Jangan lagi korek-korek kecuali benar-benar perlu. Zaman moden ini semua gaji dibayar melalui bank. oleh itu buka sekurang-kurangnya dua akaun, satu untuk pembayaran gaji dan satu lagi untuk simpanan. Saya sendiri buka tiga akaun iaitu pembayaran gaji, simpanan untuk kecemasan dan simpanan hari tua. Simpanan hari tua saya pakai ASB la. Percayalah kata-kata sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

3. Bayar secara tunai
Jangan terlalu teruja membeli barang dengan menggunakan kad kredit kerana ia akan menjerat kita. Berbelanja memang seronok tetapi membayar sangat memeritkan kecuali kalau seseorang itu berbelanja secara berhemah. Tidak ramai pengguna berdisiplin dalam menggunakan kad kredit. Perbuatan menangguhkan bayaran hutang kad kredit menyebabkan ia terkumpul dan terkumpul sehingga ia akan menjadi beban.. berhutang sikit-sikit lama-lama bikin mampus. Oleh itu orang bijak pandai cakap guna debit kad lagi selamat, tidak ada wang jangan berbelanja.

4. Menjana pendapatan sampingan
Jika ada kemahiran, keinginan buatlah kerja sampingan bagi membantu menambah pendapatan. Tidak ada kemahiran berniaga di pasar malam, buatlah duit sampingan dari rumah secara online. Sebagai contoh menjana pendapatan di Shopee dengan menjual produk. Tiada idea hendak jual apa di shopee jadilah agen affiliate involve asia kemudian promosikan produk mereka. Tidak pandai berniaga di shopee, atau kemahiran IT kurang, bawalah kereta Grab.

Anda juga perlu mendownload tips dan panduan bebas hutang bagi mengukuhkan ilmu pengetahuan dalam membebaskan diri dari hutang.

0 comments:

Post a Comment